Tuesday, June 5, 2018

BEZA PENTADBIR TANAH, PEMEGANG KUASA DAN PEMEGANG AMANAH


PERBEZAAN ANTARA PENTADBIR HARTA, PEMEGANG KUASA DAN PEMEGANG AMANAH

Ramai yang keliru tentang istilah Pentadir Harta, Pemegang Amanah dan Wakil Kuasa (Power Attorney) Ketiga-tiganya mungkin nampak macam nak sama tetapi yang sebenarnya ia terlalu berbeza dari segi maksud dan perlaksanaannya.


Jom tengok Perbezaannya :


PENTADBIR HARTA
Pentadbir Harta merujuk kepada seseorang atau satu pihak yang dilantik sama ada oleh tuan tanah semasa beliau masih hidup tetapi hanya berkuatkuasa setelah beliau meninggal dunia, atau dilantik oleh Pejabat Pusaka Kecil atau Mahkamah untuk mentadbir dan menguruskan harta tuan tanah tersebut setelah beliau meninggal dunia bagi pihak waris simati atau pihak-pihak tertentu sebagaimana yang diputuskan oleh Pejabat Pusaka Kecil atau Mahkamah sehingga harta tersebut diserahkan secara sah berdasarkan undang-undang kepada waris-waris yang sah atau kepada pihak-pihak tersebut.

Biasanya Pentadbir Harta dilantik sekiranya semasa simati meninggal dunia terdapat waris-waris beliau yang masih dibawah umur atau hilang keupayaan dari segi undang-undang untuk memiliki harta atau harta berkenaan telah disekat dengan sesuatu sekatan tertentu yang mana perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum ianya boleh diserahkan kepada waris yang sah atau pihak-pihak tersebut.

Kedudukan Pentadbir Harta hanyalah sekadar sebagai Pengurus atau Pentadbir yang memegang amanah bagi pihak simati sehinggalah harta tersebut diserahkan kepada waris yang sepatutnya atau sehingga kesemua pembahagian harta tersebut diselesaikan sepenuhnya. Pentadbir Harta tidak ada hak pemilikan ataupun kepentingan terhadap harta yang ditadbirnya melainkan beliau sendiri adalah salah seorang daripada waris yang berhak menerima harta simati. Maksudnya, Pentadbir Harta ni tidak ada kuasa langsung atau kuasa secara automatik untuk menjual atau memindahmilik harta tersebut kepada mana-mana pihak selain daripada waris-waris yang sah yang berhak menerima harta tersebut melainkan ada suatu perintah sama ada daripada Pejabat Pusaka Kecil atau Mahkamah untuk berbuat demikian.

Pentadbir Harta boleh dilantik samada dikalangan waris simati atau pihak-pihak lain yang difikirkan sesuai oleh Pejabat Pusaka Kecil atau Mahkamah seperti Amanah Raya Berhad. Pentadbir Harta juga boleh dilantik lebih daripada seorang dan boleh juga digantikan dengan Pentadbir Harta yang lain sekiranya Pentadbir Harta itu gagal melaksanakan tanggungjawab dan amanah mereka dengan baik dan berksesan.

PEMEGANG AMANAH
Pemegang Amanah adalah seseorang atau satu pihak yang dilantik oleh tuan tanah semasa beliau masih hidup dan akan berkuatkuasa serta merta sebaik sahaja pelantikan Pemegang Amanah dibuat. Kebiasaannya Pemegang Amanah dilantik oleh tuan tanah itu sendiri untuk melaksanakan sesuatu tanggungjawab bagi pihak tuan tanah atau bagi pihak orang lain yang berkepentingan ke atas tanah tersebut.

Kenapa Pemegang Amanah dilantik? Pemegang Amanah boleh dilantik sekiranya tuan tanah ingin menghibahkan hartanya kepada anak-anaknya yang masih di bawah umur atau pihak-pihak lain yang tidak layak dari segi undang-undang untuk memiliki harta tersebut. Pemegang Amanah juga boleh dilantik untuk tujuan mengurus dan memegang amanah bagi pihak orang lain yang mempunyai hak pemilikan dan kepentingan terhadap tanah tersebut tetapi hak pemilikan tersebut tidak dapat didaftarkan di dalam geran akibat kekangan undang-undang dan sebagainya. Sebagai contoh, 7 orang pembeli dikalangan adik beradik atau rakan berkongsi duit membeli tanah pertanian dengan keluasan 1 ekar untuk tujuan sama-sama menguruskan urusan pecah bahagi tanah berkenaan. Memandangkan terdapat kekangan undang-undang yang mensyaratkan tanah pertanian hanya boleh dipindahmilik kepada satu nama sahaja untuk keluasan 1 ekar, maka hanya salah seorang dikalangan 7 orang pembeli tersebut akan didaftarkan namanya sebagai pemilik di dalam geran manakala 6 orang yang lain akan melantik pembeli yang namanya akan didaftarkan dalam geran yang sama sebagai Pemegang Amanah melalui satu instrument sementara sebelum geran individu berstatus bangunan dikeluarkan dan diindahmilik dibuat daripada Pemegang Amanah kepada Pemberi Amanah.

Bagi mewujudkan satu ikatan Pemegang Amanah yang sah, satu surat cara Ikatan Amanah akan ditandatangan oleh Pemberi Amanah dan Pemegang Amanah. Surat Ikatan Amanah tersebut akan didaftarkan di Pejabat Tanah. Bagi melindunggi hak dan juga kepentingan pemberi amanah atau pihak yang berkepentingan melalui Ikatan Amanah tersebut, mereka boleh memohon Pentadbir Tanah memasukkan Kayveat Amanah ke atas tanah berkenaan.

Sama juga seperti Pentadbir Harta, Pemegang Amanah juga tidak ada hak dan kuasa penuh terhadap hartanah tersebut. Maksudnya, Pemegang Amanah tidak boleh sewenang-wenangnya menjual atau memindahmilik tanah tersebut kepada pihak-pihak lain melainkan setelah mendapat persetujuan daripada pemberi amanah itu sendiri.

WAKIL KUASA
Wakil kuasa adalah seseorang yang dilantik oleh tuan tanah sebagai wakilnya yang sah untuk melakukan sesuatu perkara atau tangungjawab tertentu yang sepatutnya dilakukan oleh tuan tanah berkenaan dengan tanah tersebut. Terdapat dua jenis wakil kuasa begantung kepada setakat mana kuasa yang diberikan oleh tuan tanah kepadanya iaitu

Wakil Kuasa Penuh (Full Power Of Attorney)

&

Wakil Kuasa Terhad (Limited Power Of Attorney)

Wakil kuasa ini mempunyai hak seolah-olah dia adalah tuan tanah tersebut tertakluk kepada kuasa-kuasa yang dinyatakan dengan jelas melalui Power Attorney berkenaan oleh tuan tanah kepadanya.

Bagi memastikan wujudnya ikatan wakil kuasa ini, satu Surat Wakil Kuasa akan ditandatangani oleh tuan tanah dan wakil kuasa dan ianya perlulah didaftarkan di Mahkamah Tinggi dan Pejabat Tanah berkenaan. Wakil kuasa akan terikat untuk melaksanakan tanggungjawabnya bagi pihak tuan tanah mengikut kuasa-kuasa yang diberikan dan dinyatakan dengan jelas melalui Power Attorney berkenaan.

Ada Wakil Kuasa yang boleh dibatalkan atau ditarik balik dan ada juga Wakil Kuasa yang tidak boleh dibatalkan dan tidak boleh ditarik balik kuasanya. Kuasa-kuasa yang diberikan ini boleh dibatalkan atau ditarik balik bergantung kepada jenis kuasa yang diberikan kepadanya. Wakil kuasa yang boleh dibatalkan atau ditarik balik kuasanya dipanggil sebagai Revocable Power of Attorney manakala kuasa yang tidak boleh dibatalkan atau ditarik balik dipanggil sebagai Irrevocable Power Of Attorney.

Tidak seperti Pentadbir Harta dan Pemegang Amanah, Wakil Kuasa mempunyai hak dan kuasa yang sama seperti hak dan kuasa tuan tanah ke atas tanah tersebut tertakluk kepada kuasa-kuasa yang diberikan kepadanya oleh tuan tanah. Maksudnya, sekiranya tuan tanah memberikan kuasa kepada wakil kuasa untuk menjual dan memindahmilik tanah tersebut kepada pihak lain, maka wakil kuasa mempunyai kuasa penuh sebagaimana yang dinyatakan dalam Surat Wakil kuasanya.

KESIMPULANNYA

Pentadir Harta, Pemegang Amanah dan Wakil Kuasa mempunyai bidang kuasa, tanggungjawab dan hak-hak yang berbeza dan tertentu. Walaupun kelihatan macam nak sama antara satu sama lain tetapi dari segi konsep perlaksanaannya adalah amat berbeza.

Semoga Beroleh Manfaat
Wallahualam Bissawab.

No comments:

Post a Comment

Education is not just about going to school and getting a degree.It's about widening your knowledge