Wednesday, June 6, 2018


PEMBANGUNAN TANAH
(PECAH SEMPADAN,PECAH BAHAGIAN DAN PENYATUAN TANAH)

Kesemua permohonan ini melibatkan Pembangunan Tanah. Pecah Sempadan di bawah Seksyen 135 – 139 KTN

Pecah Bahagian di bawah Seksyen 140 – 145 KTN

Penyatuan di bawah Seksyen 146 – 150 KTN

Pecah Sempadan

Memecah satu lot tanah kepada dua lot atau lebih tetapi ketuanpunyaan tanah dan syer bahagian tidak berubah.

Pecah Bahagian

Memecah satu lot tanah kepada lebih daripada satu lot dengan mengikut syer bahagian masing-masing.
Penyatuan

Menyatukan dua lot tanah atau lebih yang dimiliki oleh pemilik yang sama sahaja kepada satu hakmilik.

Dalam ketiga-tiga urusan ini, ia juga dikenali sebagai Urusan Nikah Cerai dan Rujuk Tanah iaitu Penyatuan (Nikah), Pecah Bahagian (Cerai) dan Pecah Sempadan (Rujuk). Konsep ni sekadar nak bagi faham dan nak membezakan ketiga-tiga urusan tu saja.

PECAH SEMPADAN

Pecah Sempadan Tanah bermaksud satu lot tanah dipecah kepada dua atau lebih bahagian supaya setiap satunya dipegang dibawah hakmilik yang berasingan oleh tuanpunya tanah yang sama.

Contoh :

Satu hakmilik bagi lot 123 yang dimiliki oleh Ali dan Aminah dengan syer ½ bahagian setiap seorang dipecahkan menjadi hakmilik berasingan kepada dua hakmilik berasingan iaitu lot 123A dan 123B dengan Ali dan Aminah masih memegang syer yang sama di atas kedua-dua lot baru tersebut.

Asal Lot 123 milik Ali dan Aminah dengan syer ½ bahagian setiap seorang.

Berlakunya Pecah Sempadan Lot 123 dibatalkan dan katakanlah menjadi Lot 123A dan 123B.

Lot 123A tetap dimiliki oleh Ali dan Aminah

dengan syer ½ bahagian setiap seorang

manakala

Lot 123B juga dimiliki oleh Ali dan Aminah

dengan syer ½ bahagian setiap seorang

(selepas ditolak serahan sekiranya ada)

PECAH BAHAGIAN

Pecah Bahagian bermaksud tanah yang dipegang dibawah hakmilik tetap oleh dua orang atau lebih sebagai pemilik tanah bersama dipecah bahagikan supaya terletak hak kepada setiap seorang daripada pemilik-pemilik tersebut di bawah satu hakmilik berasingan dengan syer bahagian yang masih sama. Namun demikian, tidak semestinya setiap pemilik bersama diberikan hakmilik berasingan jika pemilik tersebut masih ingin meneruskan pemilikan secara bersama dengan bahagiannya.

Contoh :

Asal Lot 123 dimiliki oleh Nazila, Nordia, Madina, Fauzi dan Madani dengan syer 1/5 bahagian setiap seorang daripada mereka.

Lot 123 dibuat pecah bahagian dan dikeluarkan hakmilik baru secara berasingan.

Lot 123 dibatalkan dan menjadi lot baru dan katakanlah menjadi Lot 123A, 123B, 123C dan 123D.

Lot 123A dimiliki oleh Nazila dengan syer 1 bahagian,

Lot 123B dimiliki oleh Nordia dengan syer 1 bahagian,

Lot 123C dimiliki oleh Madina dengan syer 1 bahagian dan Lot 123D dimiliki oleh Fauzi dan Madani dengan syer ½ bahagian setiap seorang kerana ingin meneruskan pemilikan secara bersama.

PENYATUAN

Penyatuan tanah adalah penyatuan dua atau lebih lot tanah yang bersebelahan dan dimiliki oleh seorang atau lebih pemilik yang sama dibawah satu hakmilik berasingan yang dicantumkan menjadi satu lot yang dipegang dibawah satu hakmilik sahaja.

Contoh:

3 lot tanah yang berada berdampingan/ bersebelahan dan didaftarkan di bawah 3 hakmilik berasingan atas nama Ahmad dan Mamat dengan syer sebanyak ½ bahagian setiap seorang daripada mereka dibuat penyatuan.

Katakanlah 3 lot tersebut yang terletak bersebelahan dan berdampingan adalah Lot 123, Lot 456 dan Lot 789.

Lot 123 dimiliki secara bersama oleh Ahmad dan Mamat dengan syer bahagian yang sama,

Lot 456 juga dimiliki oleh Ahmad dan Mamat dengan syer yang sama banyak dan

Lot 789 yang turut dimiliki oleh Ahmad dan Mamat dengan syer bahagian yang sama

ketiga-tiga lot ini dibuat penyatuan dan menjadi hanya satu lot sahaja dan katakanlah menjadi lot 1011 dan pemilikannya tetap sama iaitu Ahmad dan Mamat dengan syer ½ bahagian pada setiap mereka.

No comments:

Post a Comment

Education is not just about going to school and getting a degree.It's about widening your knowledge